Wednesday, February 27, 2008

Tokoh Pejuang...

Perkembangan tentang penyelidikan sejarah Malaysia dan masyarakatnya masih berada pada tahap yang agak baru. Justeru itu, penulisan sejarah terdahulu yang menyentuh tentang masyarakat tempatan sebagai wira negara jarang sekali ditemui. Namun demikian, terdapat beberapa personaliti sejarah tempatan yang telah memberi sumbangan yang penting kepada negara sepanjang hayat mereka. Melalui kegigihan mereka, generasi kini dapat menikmati kehidupan yang selesa di negara yang indah dan membangun ini. Kebangkitan Empayar Melayu Melaka pada awal kurun ke-15 dan kemudiannya campur tangan kuasa-kuasa asing di dalam pentadbiran Negeri-negeri Melayu telah mendorong masyarakat tempatan mengamalkan seni silat atau seni mempertahankan diri. Justeru, wujud ramai pahlawan Melayu yang handal dan amanah kerana hampir semua golongan masyarakat, termasuk orang kampung, kerabat diraja serta wanita, telah mempelajari dan menguasai ilmu persilatan. Di antara pahlawan-pahlawan Melayu yang terkenal adalah Hang Tuah, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Dol Said, Tok Janggut, Mat Salleh, Datuk Maharaja Lela, Tok Gajah, Datuk Bentara Luar Johor, Rentap dan Tun Perak.
Seorang pahlawan Melayu dikehendaki melalui pelbagai tahap dan ujian di dalam seni mempertahankan diri bagi membina disiplin, keberanian dan sikap rendah diri. Status dan taraf seseorang pahlawan bergantung kepada bakti yang telah dicurahkan, integriti yang tinggi dan kemajuan yang telah dicapai. Seorang pahlawan yang mahir di dalam silat tidak memerlukan sebarang senjata untuk menewaskan musuhnya.


Seorang pahlawan Melayu harus mematuhi tataetika tertentu ketika bertarung dan ketika aman. Dua kumpulan yang bertarung harus bersetuju tentang peraturan-peraturan pertarungan sebelum ia dimulakan. Peraturan-peraturan tersebut merangkumi tarikh, masa, tempoh rehat, permulaan dan akhir pertarungan dan sebagainya. Pertarungan sebegini bukan sahaja membawa kemenangan kepada satu pihak tetapi turut memastikan keadilan kepada kedua belah pihak. Sesiapa yang tercedera harus diberikan rawatan, manakala yang terkorban pula dikebumikan. Jika satu pihak berundur meninggalkan medan pertarungan, ini menandakan ia telah mengaku kalah dan kemenangan mutlak berpihak kepada pihak lawan. Penjajah Barat dengan senjata moden mereka telah memusnahkan cara dan etika sistem pertarungan ini.


Seorang pahlawan biasanya memakai seluar yang pendek dan longgar ke paras lutut serta anak baju pendek yang dikenakan dengan ikatan kain di pinggang. Kain ikat kepala dililit supaya rambut tersusun rapi. Keris dan ada kalanya sejenis lagi senjata kecil akan diselitkan ke ikatan pinggang. Dia juga membawa sebatang lembing dan perisai yang diperbuat daripada besi, kulit, rotan atau kayu.
Kewujudan dan fungsi pahlawan Melayu serta martabat dan darjat yang dikecapi mereka telah merosot dan beransur-ansur hilang apabila penjajah barat tiba di tanah Melayu dengan teknik dan senjata peperangan mereka yang moden.



TOKOH-TOKOH KEBANGSAAN



Tok Gajah

Tok Gajah adalah ayah kepada Pahlawan Melayu Pahang iaitu Mat Kilau. Pada tahun 1891 hingga tahun 1895 telah berlaku pemberontakan Pahang terhadap pemerintah negerinya. Tok Gajah merupakan tokoh yang terlibat bersama dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Lela menentang penjajah Inggeris. Beliau bertindak menghalau penjajah Inggeris dengan segala tipu helahnya yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Beliau mempunyai semangat perjuangan yang gigih serta sanggup berdepan dengan askar-askar Inggeris yang lengkap bersenjata. Beliau juga bersama dengan Wan Lingga telah diarahkan oleh Bendahara Wan Ahmad untuk menyerang Maharaja Perba dan Orang Kaya Setia Lela. Ini adalah disebabkan perselisahan faham antara Maharaja Perba dengan Bendahara. Beliau pernah diutuskan ke Singapura bagi mendapatkan khidmat peguam sebagai penasihat Sultan Ahmad. Beliau juga menjadi ketua pasukan perang Sultan Ahmad dalam menentang penjajah Inggeris.


Golongan ketiga di negeri Pahang yang menjadi pemilik tanah yang penting dan berkuasa di kawasan-kawasan tertentu dikenali sebagai Orang Besar Raja. Golongan ini juga merupakan orang kesayangan istana tetapi bukan berketurunan bangsawan dan dinaikkan pangkat berdasarkan kepada kecekapan serta kemahirannya dalam bidang ketenteraan. Tok Gajah dan Tuan Sheikh Kechil merupakan dua orang tokoh yang terpilih mengikut kategori tersebut. Tok Gajah mempunyai pengaruh yang luas dan sangat dihormati serta ditakuti oleh orang-orang Inggeris. Beliau merupakan penasihat utama Sultan dalam segala yang berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu hal-hal yang berhubung dengan kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar.

1 comment:

adik-jessica said...

hai kak...blh tak sya nak mntk tlg kakak bagi sy maklumat tentang rentap-pahlawan iban...???
sy memerlukan maklumat tersebut untuk buat krj kursus sy...
terdesak sgt dh ni...nasib baiklah sy jumpa laman web kak ni...
blh tlg sy x???